CERAMAH AQIDAH

Posted by IRSYAD DARUL QURAN under
CERAMAH AQIDAH PERINGKAT DARUL QURAN TAHUN 2009 MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN


Kuala Kubu Bharu 18 Julai – Ceramah Akidah 2009 anjuran Unit Kaunseling & Psikologi telah berjaya menghimpunkan kira-kira 350 orang pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Program Persijilan Tahfiz Darul Quran – UIAM.



Program ceramah yang berlangsung di Auditorium Syeikh Muhammad Nor itu telah disampaikan oleh Y.Bhg Ustaz Hazaruddin B Baharuddin, Pengawai Penyelaras Kanan, Bahagian Kariah Masjid dan Surau Jumaat Zon 6, JAWI Kuala Lumpur.


Menurut Ustaz Mohd Bakri Bin Hashim, Penolong Pegawai Kaunseling Darul Quran, program ini dianjurkan dengan tujuan mendedahkan konsep akidah ahli sunnah disamping merungkai kekusutan pemikiran ummah kesan ideologi dan fikrah moden yang bercelaru.

"Kita menganjurkan program ini supaya para pelajar khususnya Pelajar Semester Satu program Diploma Tahfiz dan Semester Dua program Persijilan Tahfiz dapat memahami isu-isu kontemporari yang menghakis akidah ummat masa kini".

Ceramah yang berlangsung dalam dua sesi itu mendapat respon positif daripada para hadirin. Pada sesi pertama penceramah telah menghuraikan perkara asas berhubung akidah ahli Sunnah serta beberapa fikrah yang menyeleweng dari prinsip asas Islam.



Manakala pada sesi kedua, para hadirin diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah bagi merungkai persoalan yang bermain di fikiran hadirin.

Sehubungan dengan itu, Exco Lajnah Hal Ehwal Siswa PERKEMAT DQ, Saudara Hashim menyarankan kepada Unit Kaunseling agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sasaran peserta yang lebih luas.



Secara umumnya banyak isu dapat diperjelaskan kepada peserta. Antaranya ialah isu penggunaan Nama Allah bagi non-muslim, isu pemikiran Wahabi dan lain-lain.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Haji Mohd Tahir Abd Manap, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Darul Quran Jakim, Ustaz Bakri Ambaola dan Ustaz Ahmad Dasuki Hj Hashim, keduanya merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran, Darul Quran Jakim.



Disediakan Oleh : Mohd Bakri Hashim
Penolong Pegawai Kaunseling
Hal Ehwal Pelajar
Darul Quran Jakim
Picture by : IRSYAD PRODUCTIONS & STUDIOS