Posted by
IRSYAD DARUL QURAN
under
CERAMAH AQIDAH PERINGKAT DARUL QURAN TAHUN 2009 MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN
Kuala Kubu Bharu 18 Julai – Ceramah Akidah 2009 anjuran Unit Kaunseling & Psikologi telah berjaya menghimpunkan kira-kira 350 orang pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Program Persijilan Tahfiz Darul Quran – UIAM.
Program ceramah yang berlangsung di Auditorium Syeikh Muhammad Nor itu telah disampaikan oleh Y.Bhg Ustaz Hazaruddin B Baharuddin, Pengawai Penyelaras Kanan, Bahagian Kariah Masjid dan Surau Jumaat Zon 6, JAWI Kuala Lumpur.
Menurut Ustaz Mohd Bakri Bin Hashim, Penolong Pegawai Kaunseling Darul Quran, program ini dianjurkan dengan tujuan mendedahkan konsep akidah ahli sunnah disamping merungkai kekusutan pemikiran ummah kesan ideologi dan fikrah moden yang bercelaru.

"Kita menganjurkan program ini supaya para pelajar khususnya Pelajar Semester Satu program Diploma Tahfiz dan Semester Dua program Persijilan Tahfiz dapat memahami isu-isu kontemporari yang menghakis akidah ummat masa kini".
Ceramah yang berlangsung dalam dua sesi itu mendapat respon positif daripada para hadirin. Pada sesi pertama penceramah telah menghuraikan perkara asas berhubung akidah ahli Sunnah serta beberapa fikrah yang menyeleweng dari prinsip asas Islam.

Manakala pada sesi kedua, para hadirin diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah bagi merungkai persoalan yang bermain di fikiran hadirin.
Sehubungan dengan itu, Exco Lajnah Hal Ehwal Siswa PERKEMAT DQ, Saudara Hashim menyarankan kepada Unit Kaunseling agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sasaran peserta yang lebih luas.

Secara umumnya banyak isu dapat diperjelaskan kepada peserta. Antaranya ialah isu penggunaan Nama Allah bagi non-muslim, isu pemikiran Wahabi dan lain-lain.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Haji Mohd Tahir Abd Manap, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Darul Quran Jakim, Ustaz Bakri Ambaola dan Ustaz Ahmad Dasuki Hj Hashim, keduanya merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran, Darul Quran Jakim.


Disediakan Oleh : Mohd Bakri Hashim
Penolong Pegawai Kaunseling
Hal Ehwal Pelajar
Darul Quran Jakim
Picture by : IRSYAD PRODUCTIONS & STUDIOS
Posted by
IRSYAD DARUL QURAN
under
Posted by
IRSYAD DARUL QURAN
under
dipetik daripada http://www.darulquran.gov.my/arkib%20-Haluan%20Siswa.html
Kuala Kubu Bharu, 2 Mei 2009: Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menerima seramai 204 orang pelajar baru untuk mengikuti program Diploma Tahfiz al-Quran wa Al-Qiraat. Kesemua pelajar yang telah mendaftar diri pada pagi tersebut, kemudiannya telah mengikuti sesi suai kenal yang dikenali sebagai Minggu Haluan Siswa selama 6 hari bermula 2 Mei 2009 hingga 7 Mei 2009.

Sepanjang Minggu Haluan Siswa tersebut, pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan suasana pembelajaran di Darul Quran terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan di Darul Quran, teknik pengajian, kaedah hafazan, penggunaan perpustakaan, dan lain-lain.




Selain itu, beberapa aktiviti out door turut dilaksanakan dengan tujuan merapatkan hubungan antara sesama pelajar, memantapkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kerjasama di kalangan pelajar. Antara aktiviti tersebut ialah ‘ice breaking’, 'mind setting, Learning Partnership, Hayya Bil 'Arabiah, kembara dan riadah.



Majlis Penutup Minggu Haluan Siswa ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Qadir Bin Sallah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima masuk ke Darul Quran. Selain itu beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dan hafazan al-Quran. Tirai Minggu Haluan Siswa ini berlabuh dengan jayanya pada 7 Mei 2009.


Posted by
IRSYAD DARUL QURAN
under
dipetik daripada http://www.darulquran.gov.my/arkib%20-Pendaftaran%20Pelajar%20Diploma%202009%20-080509.html

Seramai 203 pelajar baru telah mendaftar untuk mengikuti Program Diploma Tahfiz al-Quran, Darul Quran JAKIM bagi sesi 2009/12 di kampusnya di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Sabtu lalu.
Majlis sambutan pelajar baru ini dirasmikan oleh Y.Bhg Dato’ Hj Wan Mohamad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya ditawarkan ke Darul Quran. Dalam ucapan perasmiannnya, beliau turut memberikan ucapan tahniah kepada para ibu bapa yang berjaya memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak, dan berjaya membentuk pemikiran mereka tentang peri penting mempelajari bidang agama terutama bidang hafazan al-Quran.
Beliau turut memberi pendedahan tentang prospek kerjaya yang baik menanti para graduan Darul Quran, di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran di beberapa universiti di dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang ilmu. Buat masa ini, terdapat ramai graduan Darul Quran yang bekerja dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, pengurusan dan sebagainya.....


Dalam ucapannya juga, Y.Bhg Ketua Pengarah juga turut menekankan tentang kepentingan menjaga akhlak dan adab-adab sebagai pelajar yang menjunjung al-Quran dalam kehidupan mereka. Selain daripada itu, beliau juga menyeru para pelajar agar dapat kekal menimba ilmu di Darul Quran dan tidak mensia-siakan peluang yang ada. Ini kerana sekiranya pelajar-pelajar ini meninggalkan Darul Quran kerana mendapat tawaran lain, ini pastinya akan menidakkan peluang orang lain untuk belajar di Darul Quran


Majlis sambutan pelajar baru ini juga dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Y.Bhg. Tuan Haji Othman Bin Mustapha dan Pengarah Darul Quran, Y.Bhg. Us. Che Ibrahim Bin Che Man. Majlis ini turut diserikan dengan satu acara simbolik penyerahan pelajar-pelajar oleh ibu-bapa kepada Darul Quran.
Darul Quran merakamkan ucapan terima kasih kepada Y. Bhg Dato’ Ketua Pengarah JAKIM kerana sudi merasmikan Majlis Sambutan Pelajar Baru pada kali ini.
.



