Kecemerlangan Darul Quran

Posted by IRSYAD DARUL QURAN under





PERWATAKAN seorang pemuda berkopiah putih yang berbaju Melayu berwarna emas itu kelihatan amat sederhana.

Lengkap menyarung persalinan jubah berwarna hijau, dia tenang berdiri di satu sudut bersama beberapa individu lain.

Beberapa saat kemudian, kedengaran suara pengacara majlis mengumumkan nama penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri sempena Majlis Konvokesyen Darul Quran (DQ) ke-19 yang sedang berlangsung ketika itu.

Sejurus profil dirinya habis diumumkan, pemuda yang dikenali sebagai Mohamad Abdillah Samsuiman itu melangkah naik ke pentas untuk menerima anugerah miliknya.

Selepas tiga tahun menuntut ilmu di DQ dalam jurusan Diploma Tahfiz al-Quran, Abdillah, 25, kini bergelar seorang huffaz yang cemerlang dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum.

Mengakui kemasukannya ke DQ agak lewat berbanding usia yang sepatutnya, Abdillah bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana masih mampu menjadi seorang penghafal kitab suci yang diturunkan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W itu.

Berkongsi pengalaman menimba ilmu di DQ, Abdillah memberitahu, niat perlu ikhlas dalam setiap yang dilakukan.

Contohnya, ketika mula belajar di DQ, dia tidak berharap pada pekerjaan yang akan diperoleh kelak, sebaliknya semuanya disandarkan pada Allah.

“Saya menghafaz al-Quran atas prinsip sebagai umat Islam, saya mahu mempelajari dan memahami kalam Allah dengan lebih terperinci.

“Melaluinya, banyak kelebihan dan keberkatan yang akan diperoleh secara semula jadi memandangkan niat kita belajar kerana Allah,” tutur Abdillah yang mengambil masa tiga tahun untuk menghafaz al-Quran.


SELAIN pembacaan al-Quran di hadapan guru, pelajar juga saling mendengar bacaan sesama sendiri.


Apakah petua atau tip untuk menjadi hafiz yang baik? “Sentiasa bangun solat malam. Kalau tidak dapat dilakukan setiap hari, memadai jika laksanakan seminggu tiga kali.

“Kemudian, perlu sentiasa menghormati kedua-dua ibu bapa, guru-guru dan kakitangan serta rakan-rakan pelajar. Akhir sekali, kena bijak menyusun strategi di antara akademik dan aktiviti ko-kurikulum. Insya-Allah, kita pasti berjaya.”

Kejayaan Abdillah itu meneruskan lagi legasi cemerlang DQ dalam melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik dan hafaz al-Quran.

Seorang lagi penerima anugerah serupa, Izzah Qudsiah Mohamad Ghazali, 21, berkata, dalam hafalan al-Quran dia banyak bergantung pada Allah, bukan pada diri sendiri.

Sering mengulang-ulang bacaan al-Quran pada waktu malam dan sebelum Subuh, Izzah Qudsiah mengatakan itu antara waktu terbaik untuk menguatkan hafalan.

“Alhamdulillah, dengan cara itu saya dapat menguasai kursus tahfiz di DQ secara progresif,” ungkap anak ketiga daripada sembilan adik-beradik yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan itu.

Mula ditubuhkan pada pada 1 Mac 1966, sedar atau tidak legasi DQ yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah hampir menjangkau lebih separuh abad.

Pelajar luar negara

Dalam tempoh berkenaan, telah ramai huffaz, qurra’ dan du’at yang mahir lagi berketerampilan telah dilahirkan selaras dengan keperluan ummah dan negara.

Huffaz merujuk kepada hafiz dan hafizah yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu al-Quran bagi memelihara kesucian dan kesahihan kitab suci tersebut.

Qurra’ pula terdiri daripada qari dan qariah yang berwibawa dalam menguasai seni bacaan al-Quran serta ilmu Qiraat.

Sementara Du’at bermaksud pendakwah, pendidik dan imam-imam terlatih serta profesional melalui pengajian ilmu-ilmu al-Quran.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abd. Aziz memberitahu, tahun ini genap 19 tahun DQ mengadakan majlis konvokesyen sendiri.

Ujarnya, sejak ditubuhkan 44 tahun lalu, DQ telah berjaya mengeluarkan ribuan penghafaz al-Quran dari segenap pelosok tanah air.

“Bahkan, pelajarnya bukan sahaja terdiri daripada anak tempatan tetapi juga dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan Kemboja.

“Kebanyakan para huffaz telah berjaya dalam kehidupan mereka dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat,” ujar Wan Mohammad sambil berharap para graduan DQ mampu menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.


PELAJAR Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan juga berpeluang menimba ilmu di Darul Quran.


Generasi pertama

Ketika mula ditubuhkan, hanya terdapat lapan pelajar perintis sebagai generasi pertama DQ.. Salah seorang daripadanya ialah Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang menyertai DQ pada tahun 1966.

Ujar beliau, ketika itu tidak ramai orang mahu belajar bidang tahfiz kerana bimbang masa depan yang tidak menentu. Tambahan pula, ia satu kursus baru menyebabkan tiada sesiapa yang boleh dijadikan contoh untuk mengikutinya.

Namun, Sheikh Ismail memberitahu, dia belajar tahfiz kerana mempunyai latar belakang keluarga yang miskin. Ayahnya cuma penoreh getah.

“Apabila habis belajar di sekolah Melayu, saya layak ke sekolah aliran agama dan kebetulan mendapat biasiswa yang membolehkan saya meneruskan pelajaran.

“Melalui duit biasiswa itu juga, saya gunakan untuk belanja pengajian dan membantu keluarga,” katanya yang turut menerima duit zakat ketika belajar di DQ pada usia 16 tahun. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun setengah untuk memiliki sijil Tahfiz al-Quran.

Perbaiki bacaan

Selain menawarkan kursus tahfiz, DQ turut menjadi platform untuk masyarakat menimba ilmu berkaitan bidang taranum. Ia merupakan satu kaedah untuk memperelok atau memperindahkan bacaan al-Quran secara berlagu.

Mula diperkenalkan pada tahun 2007, Program Persijilan Tinggi Taranum al-Quran dirangka khusus untuk melahirkan generasi al-Quran yang gemilang dan berwibawa. Program itu hanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Pada konvokesyen baru-baru ini, penerima Sijil Tinggi Taranum yang mencatat keputusan terbaik sekali gus melayakkan beliau memperoleh Anugerah Pengerusi Lembaga Darul Quran merupakan seorang guru tahfiz dan imam madrasah di Rembau, Negeri Sembilan.

Ketika ditemui, Abdul Latif Mohd. Ali, 38, mengakui dia tidak malu untuk menuntut ilmu walaupun sudah agak berusia berbanding rakan sekursus.

“Sebagai seorang imam, saya perlu sentiasa berusaha memperbaiki tahap bacaan al-Quran dari semasa ke semasa. Apabila mengetahui DQ menawarkan program Sijil Tinggi Taranum, saya tidak teragak-agak untuk mengikutinya,” terang Abdul Latif yang tidak pernah ponteng kelas sepanjang dua bulan berkursus di DQ.

Konvokesyen DQ yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kuala Kubu Baru, baru-baru ini menyaksikan 474 graduan iaitu 288 lelaki dan 186 wanita daripada tiga program naik ke pentas bagi menerima skrol dan sijil masing-masing.


MINGGU Haluan Siswa merupakan antara aktiviti yang perlu dijalani oleh pelajar baru Darul Quran.


Mereka merupakan graduan program Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat di Darul Quran dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri (MTQN); program Persijilan Tahfiz al-Quran Darul Quran-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (DQ-UIAM) serta program Sijil Tinggi Taranum al-Quran (STTQ).

Secara keseluruhan, pemegang Diploma Tahfiz al-Quran layak memasuki perkhidmatan kerajaan yang setaraf diploma.

Namun, kebanyakan graduan lebih gemar memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di beberapa buah universiti di dalam dan luar negara seperti Maahad Qira’at Shoubra, Universiti Al-Azhar; Mesir, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), UIAM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya.

Dipetik dari : Kosmo

CERAMAH AQIDAH

Posted by IRSYAD DARUL QURAN under
CERAMAH AQIDAH PERINGKAT DARUL QURAN TAHUN 2009 MENDAPAT SAMBUTAN YANG MENGGALAKKAN


Kuala Kubu Bharu 18 Julai – Ceramah Akidah 2009 anjuran Unit Kaunseling & Psikologi telah berjaya menghimpunkan kira-kira 350 orang pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Program Persijilan Tahfiz Darul Quran – UIAM.



Program ceramah yang berlangsung di Auditorium Syeikh Muhammad Nor itu telah disampaikan oleh Y.Bhg Ustaz Hazaruddin B Baharuddin, Pengawai Penyelaras Kanan, Bahagian Kariah Masjid dan Surau Jumaat Zon 6, JAWI Kuala Lumpur.


Menurut Ustaz Mohd Bakri Bin Hashim, Penolong Pegawai Kaunseling Darul Quran, program ini dianjurkan dengan tujuan mendedahkan konsep akidah ahli sunnah disamping merungkai kekusutan pemikiran ummah kesan ideologi dan fikrah moden yang bercelaru.

"Kita menganjurkan program ini supaya para pelajar khususnya Pelajar Semester Satu program Diploma Tahfiz dan Semester Dua program Persijilan Tahfiz dapat memahami isu-isu kontemporari yang menghakis akidah ummat masa kini".

Ceramah yang berlangsung dalam dua sesi itu mendapat respon positif daripada para hadirin. Pada sesi pertama penceramah telah menghuraikan perkara asas berhubung akidah ahli Sunnah serta beberapa fikrah yang menyeleweng dari prinsip asas Islam.



Manakala pada sesi kedua, para hadirin diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah bagi merungkai persoalan yang bermain di fikiran hadirin.

Sehubungan dengan itu, Exco Lajnah Hal Ehwal Siswa PERKEMAT DQ, Saudara Hashim menyarankan kepada Unit Kaunseling agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sasaran peserta yang lebih luas.



Secara umumnya banyak isu dapat diperjelaskan kepada peserta. Antaranya ialah isu penggunaan Nama Allah bagi non-muslim, isu pemikiran Wahabi dan lain-lain.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Haji Mohd Tahir Abd Manap, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Darul Quran Jakim, Ustaz Bakri Ambaola dan Ustaz Ahmad Dasuki Hj Hashim, keduanya merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran, Darul Quran Jakim.



Disediakan Oleh : Mohd Bakri Hashim
Penolong Pegawai Kaunseling
Hal Ehwal Pelajar
Darul Quran Jakim
Picture by : IRSYAD PRODUCTIONS & STUDIOS

Inter Family Games 2009

Posted by IRSYAD DARUL QURAN under
sumber : http://perkematdq.blogspot.com/




Alhamdulillah, Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran ( PERKEMAT DQ) telah mengadakan satu program Inter Family Games 2009 ( INTERFAME 2009 ) yang telah berlangsung pada 12 Jun sehingga 14 Jun 2009 iaitu 3 hari 2 malam bagi pelajar semester 1 Diploma. Program ini bergerak dalam bentuk kumpulan-kumpulan usrah, manakala fasilitator terdiri daripada para Nuqaba banin dan banat. Program ini berlangsung di sekitar Darul Quran dan Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“ Maka tetaplah (istiqamah) kamu semua sepertimana yang disuruh kepada kalian (di atas jalan yang betul) ”
Hud : 112.
“Sebaik-baik kamu adalah golongan yang belajar Al-Quran dan Mengajarkannya” Al-Hadith.

Justeru, bagi menyahut saranan ini, Program Inter Family Games Diploma 2009/2012 yang dirancang telah berjaya dilaksanakan oleh PERKEMAT DQ sebagai salah satu usaha untuk memberi kesedaran kepada pelajar Semester 1 Diploma 2009/2012 tentang tanggungjawab dan amanah mereka untuk menghargai peluang mempelajari Kalamullah di Darul Quran serta kewajipan mereka untuk menamatkan program pengajian ini dengan jayanya. Oleh itu, salah satu langkah yang dirasakan mampu menjurus ke arah tersebut ialah dengan mengukuhkan institusi usrah di kalangan pelajar .

Program Inter Family Games Diploma 2009/2012 anjuran PERKEMAT DQ ini juga merupakan salah satu usaha untuk menjana golongan huffaz khususnya agar lebih berketrampilan lagi berdaya saing dan mempunyai pegangan jati diri yang mapan serta mampu berfikir secara matang dan rasional. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t, program ini dapat berjalan dengan sempurna seiring dengan tujuan mendapat keredhaan Allah s.w.t. InsyaAllah.



“ Kecergasan Jasmani, Ukhuwwah Terpatri ”

HALUAN SISWA RAPATKAN JURANG ANTARA PELAJAR DARUL QURAN

Posted by IRSYAD DARUL QURAN under
dipetik daripada http://www.darulquran.gov.my/arkib%20-Haluan%20Siswa.html

Kuala Kubu Bharu, 2 Mei 2009: Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menerima seramai 204 orang pelajar baru untuk mengikuti program Diploma Tahfiz al-Quran wa Al-Qiraat. Kesemua pelajar yang telah mendaftar diri pada pagi tersebut, kemudiannya telah mengikuti sesi suai kenal yang dikenali sebagai Minggu Haluan Siswa selama 6 hari bermula 2 Mei 2009 hingga 7 Mei 2009.


Sepanjang Minggu Haluan Siswa tersebut, pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan suasana pembelajaran di Darul Quran terutama perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan di Darul Quran, teknik pengajian, kaedah hafazan, penggunaan perpustakaan, dan lain-lain.


Selain itu, beberapa aktiviti out door turut dilaksanakan dengan tujuan merapatkan hubungan antara sesama pelajar, memantapkan keyakinan diri, dan memupuk semangat kerjasama di kalangan pelajar. Antara aktiviti tersebut ialah ‘ice breaking’, 'mind setting, Learning Partnership, Hayya Bil 'Arabiah, kembara dan riadah.




Majlis Penutup Minggu Haluan Siswa ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Qadir Bin Sallah. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima masuk ke Darul Quran. Selain itu beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pengajian dan hafazan al-Quran. Tirai Minggu Haluan Siswa ini berlabuh dengan jayanya pada 7 Mei 2009.







dipetik daripada
http://www.darulquran.gov.my/arkib%20-Pendaftaran%20Pelajar%20Diploma%202009%20-080509.html




Seramai 203 pelajar baru telah mendaftar untuk mengikuti Program Diploma Tahfiz al-Quran, Darul Quran JAKIM bagi sesi 2009/12 di kampusnya di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Sabtu lalu.

Majlis sambutan pelajar baru ini dirasmikan oleh Y.Bhg Dato’ Hj Wan Mohamad Bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya ditawarkan ke Darul Quran. Dalam ucapan perasmiannnya, beliau turut memberikan ucapan tahniah kepada para ibu bapa yang berjaya memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak, dan berjaya membentuk pemikiran mereka tentang peri penting mempelajari bidang agama terutama bidang hafazan al-Quran.


Beliau turut memberi pendedahan tentang prospek kerjaya yang baik menanti para graduan Darul Quran, di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran di beberapa universiti di dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang ilmu. Buat masa ini, terdapat ramai graduan Darul Quran yang bekerja dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, pengurusan dan sebagainya.....



Dalam ucapannya juga, Y.Bhg Ketua Pengarah juga turut menekankan tentang kepentingan menjaga akhlak dan adab-adab sebagai pelajar yang menjunjung al-Quran dalam kehidupan mereka. Selain daripada itu, beliau juga menyeru para pelajar agar dapat kekal menimba ilmu di Darul Quran dan tidak mensia-siakan peluang yang ada. Ini kerana sekiranya pelajar-pelajar ini meninggalkan Darul Quran kerana mendapat tawaran lain, ini pastinya akan menidakkan peluang orang lain untuk belajar di Darul Quran

Majlis sambutan pelajar baru ini juga dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Y.Bhg. Tuan Haji Othman Bin Mustapha dan Pengarah Darul Quran, Y.Bhg. Us. Che Ibrahim Bin Che Man. Majlis ini turut diserikan dengan satu acara simbolik penyerahan pelajar-pelajar oleh ibu-bapa kepada Darul Quran.

Darul Quran merakamkan ucapan terima kasih kepada Y. Bhg Dato’ Ketua Pengarah JAKIM kerana sudi merasmikan Majlis Sambutan Pelajar Baru pada kali ini.

.